|

Kisah Haji Bakheel dan Al-Nakheel
Seorang
teman telah diundang oleh kawannya berbangsa Arab untuk ke rumahnya. Tentu
sekali, fikirnya untuk dijamu masakan Arab yang sering disebut-sebut sebagai
masakan yang menyelerakan.
Tiba
di rumah kawannya, beliau diberi minuman teh Arab, tentu sekali fikirnya,
sebagai pembasah tekak. Minuman teh pekat dan manis yang dituang dalam
cawan kecil. Sambil itu, mereka berbual bertanyakan hal negeri masing-masing.
Selesai
meneguk teh Arab, kawannya segera menuang lagi. Ini disusuli dengan bercawan-cawan
lagi. Teko yang kosong diisi. Sudah hampir satu jam berlalu, teman tertanya-tanya
di dalam hati, bila makanan hendak disaji.
Sekali-sekali,
dia mengerling ke arah pintu dapur. Bukan untuk melihat kemunculan anak
dara kawannya, tapi untuk menantikan makanan Arab. Perut yang kembung
dengan teh manis Arab, sudah mula berkeroncong.
Perbualan
sudah mulai tawar, tidak serancak seperti awal tadi. Dia sengaja timbulkan
tentang masakan Arab yang berbagai citarasa, namun si Arab ini tak reti
bahasa.
Berapa
lama lagi harus dia tunggu ? Hendak bertanya dia malu. Sebelum perut boncit
dengan teh Arab, lebih baik dia belah. Dia minta diri dan berjanji di
dalam hati, tidak akan datang lagi ke rumah Haji Bakheel ini!
Selang
seminggu, teman dijemput datang ke rumah seorang lagi kawan, juga berbangsa
Arab. Dengan pengalaman di rumah Haji Bakheel masih segar dalam ingatan,
dia ingin saja menolak jemputan itu.
Tapi
atas nasihat saudaranya, teman saya pergi menunaikan hajat kawan Arab
itu. Kali ini, dia alas perut dengan sekeping roti Arab. Walau sekeping,
roti bulat macam dulang kecil itu, sungguh menggenyangkan.
Sesampai
di ruang tamu rumah kawannya, dia mula hendak sendawa, apabila melihat
makanan penuh di atas meja. Bermacam juadah, manisan dan buah-buahan dihidangkan,
tetapi tumpuannya adalah pada sedulang nasi putih dengan daging kambing
panggang.
Dia
pernah dengar bahawa daging itu yang dipanggang atau dikukus hingga lembut
adalah separuh anak kambing yang menjadi kegemaran dan kebanggaan orang
Arab apabila menjamu tetamu. Nasinya kelihatan berminyak - dari titisan
minyak daging kambing itu sendiri.
Perut
telah sendat dengan roti Arab, seolah-olah tak ada ruang lagi untuk sumbatkan
makanan yang berada di depan mata. Terpaksalah jamah sikit sana, sikit
sini. Kalau tak sentuh, nanti kecil hati pula kawannya. Mujur ada beberapa
teman lain yang turut diundang. Rezeki merekalah.
Begitulah
kemurahan hati Al-Nakheel, yang jauh beza laksana bumi dengan langit dengan
Haji Bakheel.
Ahmad
Al-Uhud
seterusnya puisi "Kenangan di bumbung Nabawi"
|