11| Wisata Bersama Halijah Travel- China

Beijing

Beijing
Kalau ke Beijing, tidak sah lawatan anda jika tidak melawat peninggalan warisan sejarah kuno China yang paling terkenal di dunia iaitu Tembok Besar China.

Dibangunkan 2,500 tahun lalu dan masih berdiri megah sepanjang 6,000 kilometer sehingga hari ini, ia begitu menakjubkan dan merupakan satu daripada dua bangunan atau struktur yang boleh dilihat dari bulan! Oleh itu, tidak hairanlah jika ia diiktiraf sebagai antara tujuh tempat paling menakjubkan di dunia.
Dalam anda mengenali dan menikmati budaya masyarakat China di Beijing, satu lagi perkara yang menakjubkan ialah bagaimana masyarakat Islam China mengimbangi tradisi turun-temurun bangsa mereka dengan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Ciri ini mungkin asing bagi kita di Asia Tenggara di mana kebanyakan penganut agama Islam adalah orang Melayu atau India.

Antara nilai-nilai Islam yang terlihat adalah terdapat banyaknya masjid di Beijing. Salah satu daripadanya adalah Masjid Niu Jie. Dibangunkan pada 996 sesudah Masehi, Masjid Niu Jie adalah masjid yang terbesar dan tertua di Beijing. Dari luar, ia saling tak tumpah kuil China. Namun sebaik sahaja anda melangkah masuk ke dalam, ayat-ayat suci Al-Quran dalam tulisan Khat yang indah menghiasi pelbagai ruang dan sudut. Mimbar dan barisan saf mengesahkan lagi bangunan itu sebagai masjid. Tentu seronok jika dapat mengerjakan solat berjemaah bersama penduduk tempatan.