2| Program Praktikal Haji di Pasir Gudang

Setelah tekun mengikuti kursus manasik haji selama beberapa bulan, jemaah haji 2003 HALIJAH TRAVEL telah dibawa ke Masjid Jamek, Pasir Gudang untuk mengikuti perkhemahan ibadah Haji pada 26 and 27 October 2002.

Matlamat program ini adalah untuk mengajak jemaah berlatih amalan-amalan yang akan dilakukan di Tanah Suci kelak. Selain aspek ibadah, peserta juga dibiasakan dengan keadaan tidak selesa yang bakal ditempuhi - bergerak secara kumpulan, beratur di pusat pemeriksaan imigresen & kastam, beratur ketika mengambil makanan, berkongsi tandas yang terbatas di kawasan masjid dan tidur di dalam khemah yang didirikan sementara di tempat meletak kereta.

Jika hilang sabar di sini, apa hal pulak di Tanah Suci ketika bersama berjuta Tetamu Allah yang datang dari seluruh pelusuk dunia dengan perangai dan ragam yang bermacam-macam?

Syukurlah pihak penganjur tidak merasa kecewa kerana peserta program telah menunjukkan sikap yang terpuji. Berbekalkan tekad dan azam yang kuat, setiap acara telah dilakukan peserta dengan seberapa baik yang boleh.

Malah, kami amat gembira apabila maklum balas yang diterima dari jemaah sewaktu di Tanah Suci dan setelah pulang ke Tanah Air membuktikan bahwa program praktikal ini amat berkesan sekali, khususnya kepada mereka yang tidak pernah ke Tanah Suci. Ia telah banyak mempersiapkan jemaah secara mental dan fizikal ketika menjalankan ibadah haji.

Kami juga bersyukur kerana peserta program telah bermurah hati menderma sebanyak S$1176 & RM4954. Kutipan ini telah disalurkan kepada Rumah Anak Yatim Darul Hanan (RM2500), Masjid Jamek, Pasir Gudang (RM1000), Sekolah Agama Pasir Gudang (RM500) & Sekolah Agama Al Ikhsan (RM954 & S$1176).