1| Sekapur Sirih

Jemaah & Pembaca yang saya hormati,

Selamat kembali ke tanah air. Semoga perjalanan haji 2003 anda bersama kami suatu kenangan manis yang tidak mudah dilupakan. Ingatlah anda telah melalui suatu perjalanan yang banyak ganjaran dan pelajaran. Jadikan ia suatu sebab untuk anda mengubah sikap agar kehidupan seterusnya lebih berlandaskan tuntutan agama. Di Makkah dan Madinah, anda berlumba lumba untuk ke masjid awal dan rajin membuat berbagai amalan. Semoga kegigihan itu akan terus kekal dan keghairahan anda untuk beramal tidak akan padam. Di Arafah dan Mina pula, anda begitu sabar menghadapi berbagai dugaan dan cabaran. Semoga sifat sabar itu akan senantiasa menjadi pegangan dalam menghadapi masa-masa susah dalam kehidupan ini.

Untuk pengetahuan anda, HALIJAH TRAVEL telah mempunyai satu lagi pejabat yang telah beroperasi sejak bulan Januari 2003. Pejabat baru ini terletak di nombor 22 Kandahar Street, bersebelahan dengan Masjid Sultan dan berhadapan Taman Warisan. Urusan Haji dan Umrah akan disalurkan secara perlahan ke pejabat baru ini. Pejabat ini juga menerima tempahan wisata dan tiket penerbangan. Namun pejabat di Golden Landmark masih tetap beroperasi seperti biasa.

Untuk tahun 2003 dan seterusnya, akan terdapat perubahan pada penginapan jemaah di Madinah. Hotel-hotel yang biasa digunakan di Madinah, iaitu Hotel Al Nakheel, Al Jazerah dan Dar Masarra akan dirobohkan kerana projek keluasan Masjid Nabawi. Insya’Allah, HALIJAH TRAVEL akan menggunakan Hotel Madina Oberoi sebagai penginapan jemaah haji program 2 dan juga kebanyakan pakej umrah kami. Untuk program haji ekonomi dan pakej umrah ekonomi, kami sedang meninjau beberapa buah hotel. Pemilehan hotel-hotel ini berdasarkan jarak ke Masjid, keselesaan jemaah dan harga yang berpatutan.

HALIJAH TRAVEL tidak hanya menjalankan perkhidmatan haji dan umrah sahaja. Sebenarnya, selain Malaysia dan Indonesia, kami juga mengadakan lawatan ke berbagai destinasi seperti China, Australia, New Zealand, Mesir, Thailand, Turki dan banyak lagi. Kami juga senantiasa meninjau tempat-tempat wisata baru yang sesuai dengan mengambil kira makanan ‘halal’ dan waktu sembahyang yang terpelihara. HALIJAH TRAVEL juga menerima tempahan tiket penerbangan ke merata dunia.

Ada beberapa program tahunan HALIJAH TRAVEL yang bertujuan membantu pihak yang memerlukan. Umpamanya, acara Bermaulid sambil Beramal selain dari merayakan maulid, juga bertujuan membantu pembelajaran dan rumah anak yatim di Batam atau Tanjung Pinang. Program Qurban Hari Raya Haji di Inner Mongolia, China telah berjaya mengagihkan daging Qurban dan mengumpul derma untuk madrasah dan masjid tempatan di China.

Akhir kata, saya bagi pihak HALIJAH TRAVEL memohon maaf jika terdapat kesilapan sepanjang kami menjalankan tugas. Terima kasih atas sokongan anda.

Doakan agar kami senantiasa ‘Berkhidmat Untuk Keredhaan’.

Hussin Abdul Hamid
Pengarah Urusan
Halijah Travel Pte Ltd